GUA MUSANG, 26 Disember- Lebih 3,000 Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan menyifatkan kejadian banjir yang melanda kawasan penempatan mereka bencana yang terburuk selepas banjir besar tahun 2014 lalu.
Tinjauan RTM mendapati air sungai naik dengan cepat sehingga menyebabkan penduduk kampung terkandas selepas jalan perhubungan rosak.
Kebanyakan orang asli telah berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan telah menyelamatkan diri ke kawasan bangsal yang dibina mereka di atas bukit.
"Bermula dari semalam hujan berterusan sehingga ke sekarang. Hujan semalam tidak teruk jika hendak dibandingkan hari ini. Hari ini, hujan sudah naik sampai jambatan dan makin naik. Perasaan kita ini risau sangat, takut banjir besar pada 2014 berulang lagi," kata penduduk orang asli, Eddie Charlie.
"Tahun ini lagi teruk dari tahun dulu. Kita bimbang semua tidak dapat keluar. Orang asli di sungai telah berpindah ke atas bukit, naik bukit dekat sini," kata penduduk orang asli, Roma Manan.
"Saya dari Perak sebab bercuti. Tapi air naik dan tidak dapat balik. Bertolak dari Perak pada pukul 6.00 pagi sampai sini pukul 10.00 pagi," kata Rosmi Rosli.