fb fb fb fb fb

Penduduk Kampung Kuala Tol bimbang ancaman harimau belang

Penduduk Kampung Kuala Tol bimbang dengan ancaman harimau belang yang masih bebas berkeliaran

GUA MUSANG, 1 Disember - Lebih 200 keluarga di Kampung Kuala Tol, di sini bimbang dengan ancaman harimau belang yang masih bebas berkeliaran di ladang serta hutan berhampiran kampung mereka.

Penduduk kampung kini tidak berani untuk ke kebun selepas kejadian serangan harimau belang itu yang mengorbankan tiga nyawa dalam tempoh tiga minggu.

Menurut penduduk, mereka berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan tindakan lebih agresif bagi menangkap harimau yang masih berkeliaran.

Kebanyakan penduduk yang bergantung dengan punca pendapatan di kebun juga menyifatkan serangan harimau belang sehingga meragut nyawa adalah terburuk sejak mereka menghuni Kampung Kuala Tol lebih 55 tahun lalu.

"Kalau dahulu tak ada kejadian harimau makan orang, cuma tahun ini lebih hebat dalam sejarah apabila 4 hingga ke lima orang menjadi mangsa.

"Kalau boleh pihak Perhilitan dan pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya tiada tindakan susah untuk kami nak cari makan (rezeki) untuk menoreh," kata penduduk, Mohd Zain Ismail.

"Sepanjang menetap di kampung ini saya tak pernah jumpa lagi tapak kaki harimau, tapi hanya mendengar suara dari jarak jauh. Saya tak sangka terjadi pada kampung sendiri, sebelum ini hanya mendengar kampung lain.

"Jadi kami ketakutan dan minta pihak berkuasa seperti Perhilitan tangkap semua harimau belang yang masih berkeliaran," kata Tuan Abdullah Tuan Ismail salah seorang penduduk Kampung Kuala Tol.

"Tapi masalah bila terdengar macam ni orang nak pergi kebun cari sara hidup daripada kerja pagi makan petang, mana yang kerja petang makan pagi esok pun tak boleh cari makan.

"Itulah masalahnya sekarang ni nak duduk rumah sudah tak boleh nak pergi kemana-mana . Nak pergi ke sekolah kawasan Jerek pun ada harimau," kata Ismail Che Pa.

Semalam, seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan menjadi mangsa ketiga yang maut akibat dibaham harimau dalam tempoh tiga minggu di Gua Musang selepas mayatnya ditemui dalam mengerikan di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol.

Mangsa yang dikenali sebagai Syabaini, 36 tahun dijumpai dengan anggota tubuh badan yang tidak sempurna apabila kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, polis menerima laporan kehilangan mangsa kira-kira pukul 1.30 tengah hari daripada seorang lelaki yang memaklumkan pekerja ladang getahnya disyaki telah dibaham harimau.

GRACE AISYAH KEDAYAN