BACHOK, 28 November- Penduduk di beberapa kampung di mukim Jelawat di sini dekat Kelantan menyifatkan banjir kali ini berlaku lebih cepat berbanding kebiasaan apabila hujan lebat tidak sampai sehari sudah menyebabkan air memasuki rumah dalam tempoh beberapa jam.
Penduduk, Siti Nor Azira Mat Jusoh berkata dia segera menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran bimbang akan keselamatan ibu serta tiga anaknya.
"Air naik sangat cepat tetapi kami sudah membuat persediaan awal setelah menerima makluman amaran hujan lebat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia. Kami kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat," katanya ketika ditemui RTM di PPS berkenaan hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rogayah Hussin berkata keadaan air yang naik sehingga paras lutut di dalam rumah menyebabkan dia yang sudah lebih 20 tahun menghidap masalah saraf terpaksa dibantu oleh pasukan bomba untuk berpindah.
Sementara itu, tinjauan di PPS SK Jelawat mendapati 445 individu daripada 111 keluarga telah ditempatkan di premis berkenaan setakat petang ini.
Kemudahan di PPS berkenaan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain pemeriksaan kesihatan secara percuma disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kebajikan penduduk yang uzur atau menghidap penyakit kronik terjamin.