fb fb fb fb fb

Penduduk Felda Neram 02 bimbang kehadiran gajah liar

FOTO ARKIB RTM

KEMAMAN, 26 Februari- Seramai 30 keluarga di Perumahan Felda Neram 02 di sini, Terengganu hidup dalam kebimbangan susulan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran di kawasan mereka sejak Isnin lalu.

Haiwan liar itu bukan sahaja memusnahkan tanaman milik penduduk, malah dikesan berada kurang 10 meter dari kawasan kediaman, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Menurut penduduk, sebelum ini, 18 ekor gajah liar sering dilihat berkeliaran di kawasan hutan berhampiran, namun kejadian kali ini lebih membimbangkan kerana haiwan tersebut memasuki kawasan perumahan dan merosakkan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa serta beberapa struktur binaan.

Seorang penduduk, Narul Amirul Ali berkata kejadian itu mencetuskan kebimbangan, lebih-lebih lagi kerana rumah penduduk terletak berdekatan antara satu sama lain.

"Saya risau dengan keselamatan keluarga, terutama ibu saya yang sudah tua dan anak kecil di rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azrul Mohd Noor turut melahirkan kebimbangan terhadap kejadian tersebut.

"Minggu lepas, gajah masuk tapi masih jauh, tetapi kali ini sudah sampai di tepi rumah," katanya.

Penduduk merayu pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi menghalau kumpulan gajah liar tersebut jauh dari kawasan kediaman demi keselamatan mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima aduan dan sedang mempergiat pemantauan di kawasan terbabit.

SITI AISHAH MD ISA