KUALA NERUS, 26 September - Susulan sebahagian struktur benteng jalan yang baru siap dibina di Jalan Mengabang Telipot, Batu Rakit runtuh.
Tinjauan Berita RTM mendapati kawasan runtuhan dan hakisan ditutup menggunakan kanvas buat sementara.
Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk setempat kerana projek baik pulih itu tidak mampu menahan hakisan pantai yang semakin kritikal.
Penduduk bimbang kanvas dipasang menutup kawasan hakisan itu tidak mampu menahan ombak besar yang terus menghakis pantai.
Hakisan yang semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk itu turut menimbulkan kebimbangan aspek keselamatan terutama ketika musim tengkujuh yang akan tiba tidak lama lagi.
"Pendapat saya kalau nak baik pulih, kena pasang cerucuk (piling)tapi kos itu pula mungkin lebih tinggi dari kos sedia ada ini. Bagi kami tak tahan sebab datang Monsun Timur Laut, ombak dan angin, hakisan ini akan terus berlaku. Sebelum monsun ini (datang), buat yang terbaik lah, jangan pisang berbuah dua kali," jelas Mohamad Abdullah, nelayan
"Kalau boleh nak cepat sedikit (baik pulih jalan), kami nak lalu sudah, sampai musim (tengkujuh) nanti susah, takut juga nak lalu," kata peniaga, Fradilla Mohd Zin.
"Untuk saya, kerajaan (perlu) ambil tindakan sewajarnya, ini tak masuk musim banjir lagi, saya takut nanti tak tahu apa akan terjadi...percepatkan lah (baik pulih)...letak kanvas ini tak elok...ini kawasan pelancongan, orang datang ke pantai ini, ini laluan biasa orang ke pantai, bila jadi begini susah lah," kata peniaga, Khairu Azudin Mohamed.
Benteng yang menelan kos jutaan ringgit itu adalah sebahagian projek pembaikan jalan Kampung Tanjung yang telah siap 99 peratus dan dijadual diserahkan bulan depan.
Bagaimanapun sebahagian struktur benteng itu runtuh semula pada Rabu lalu.
Pihak berkaitan difahamkan sedang meneliti punca sebenar runtuhan.
Jika tidak ditangani segera, hakisan berterusan tersebut bukan sahaja merosakkan ekosistem pantai malah berpotensi menjejaskan kediaman dan keselamatan ribuan penduduk di kawasan berkenaan.