
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kerajaan akan memperluas inisiatif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
- Kerajaan memperluas pendidikan percuma PTPTN kepada 10,000 pelajar miskin di IPTA.
- Jumlah dinaikkan dari 5,800 kepada 10,000 pelajar bawah Belanjawan 2026.
- Kira-kira 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti diberi pendidikan percuma.
- Kementerian Pendidikan ambil alih prasekolah; KPT ambil alih prauniversiti Tingkatan Enam dan matrikulasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat berbanding 5,800 pelajar yang diumumkan sebelum ini di bawah Belanjawan 2026.
“Pendidikan percuma ini kita mula tingkatkan. Sebab itu, dalam Belanjawan peringkat awal, kerajaan mengumumkan kira-kira 5,800 pelajar daripada kalangan miskin tegar akan diberikan pendidikan percuma.
“Hari ini, saya mengumumkan jumlah itu ditingkatkan melalui bantuan PTPTN kepada 10,000 pelajar kategori miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026 – 2035 di Putrajaya, hari ini.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan semua pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) di institusi IPTA, politeknik dan kolej komuniti yang berjumlah menerima pendidikan percuma tahun ini.
“Pada hari ini juga saya ingin mengumumkan semua pelajar kategori OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti yang berjumlah sekitar 3,000 orang akan diberikan pendidikan percuma mulai sekarang,” katanya.
Beliau berkata bermula tahun ini, Kementerian Pendidikan akan mengambil alih keseluruhan sistem prasekolah.
Manakala Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula akan mengambil alih sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan 6 dan matrikulasi.
“Jadi pelajar Tingkatan 6 dan matrikulasi itu bukan lagi pelajar sekolah, mereka sudah masuk ke kategori pendidikan tinggi,” katanya.