KUALA TERENGGANU, 1 Januari- Penderma darah di Terengganu kurang kira-kira 20 peratus pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November lalu.
Bagaimanapun bekalan darah di negeri itu masih mencukupi.
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, pelbagai program diadakan sebagai persediaan menyediakan bekalan darah sepanjang musim MTL.
Bagi tahun 2023, sebanyak 20,000 beg darah berjaya dikumpulkan dan ada yang dihantar ke Pahang untuk menampung kekurangan bekalan darah pada musim banjir.
Pihaknya juga memerlukan sekurang kurangnya 60 beg darah setiap hari untuk kegunaan pesakit.
"Jadi apabila musim banjir, ini memang ada penurunan sedikit daripada pendema darah, namun masih ada penderma yang datang untuk menderma darah.
"Alhamdulillah, terima kasih kami ucapkan. Buat masa ini bekalan darah kami masih di tahap optimum, namun begitu kami mohon orang awam untuk sama-sama menderma darah," katanya dalam Program Derma Darah Tanpa Sempadan, My Blood Donation Trans City, Infaq Darah Demi Ummah 2023-2026 di sini.
Sementara itu, misi solo Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman akan melaksanakan misi derma darah di 16 lokasi di negara ini sehingga tahun 2026.
"Setakat ini kali ke-93 dan untuk zon Timur ini di Pahang kita telah buat enam bulan lepas, lepas tu di Kota Bharu dan di Kuala Terengganu. Sekiranya zon Timur telah selesai, saya akan berpindah ke zon utara, zon tengah dan zon selatan, insya-Allah," katanya.
Pelbagai program dirancang bagi menggerakkan aktiviti menderma darah secara berkala untuk mencapai sasaran 22,000 beg darah tahun 2024.