Pendekatan turun padang dekati masyarakat, tingkat kesedaran bahaya dadah

Ketua Pengarah AADK, Ruslin Jusoh / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah terus diperkasa menerusi Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang digerakkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan turun padang fokus pada komuniti untuk penyampaian mesej pencegahan secara lebih dekat.
  • Sukarelawan SKUAD dan komuniti tempatan aktif mengedarkan risalah serta berkongsi maklumat tentang bahaya dadah sintetik.
  • Kepentingan kesedaran ibu bapa supaya mereka tahu cara melapor dan mendapatkan intervensi awal.
  • Program menyantuni bekas klien pemulihan dan memberi sokongan sumbangan Aidilfitri untuk kekalkan kebebasan daripada dadah.

Program berkonsepkan turun padang itu memberi tumpuan kepada pendekatan komuniti bagi menyampaikan mesej pencegahan secara lebih dekat dengan masyarakat.

Inisiatif tersebut turut diadakan di sekitar ibu negara dengan penglibatan sukarelawan SKUAD Antidadah serta komuniti setempat.

Menurut Ketua Pengarah AADK, Ruslin Jusoh, pendekatan turun padang penting bagi memastikan masyarakat terutama ibu bapa lebih peka terhadap bahaya dadah dan mengetahui saluran mendapatkan bantuan.

“Bukan sahaja kita mengedarkan pamplet mengenai jenis-jenis dadah dan sebagainya, tapi yang lebih penting, kita nak beri kesedaran kepada ibu bapa khususnya.”

“Sekiranya mereka menghadapi masalah ahli keluarga yang terlibat dengan dadah ni, mereka tahu apa nak buat, Itu yang pertama. Mereka tahu apa nak buat, antaranya adalah supaya melaporkan pada kita untuk kita bagi intervention.”

“Perlunya ada intervention. Sebab kalau dah parah, proses intervention amik masa yang agak sukar. Dan dengan perdekatan walkabout ni, saya lihat satu perdekatan yang efektif,” kataya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar ibu negara.

Selain memberi penerangan kepada orang awam, program itu turut menyantuni bekas klien pemulihan melalui sesi ramah mesra serta penyampaian sumbangan Aidilfitri sebagai sokongan agar mereka terus kekal bebas daripada dadah.

Dalam masa sama, ahli SKUAD Antidadah turut mengedarkan risalah serta berkongsi maklumat mengenai bahaya dadah sintetik di kawasan tumpuan orang ramai termasuk sekitar kompleks beli-belah di ibu negara.

Usaha berterusan itu selari dengan aspirasi AADK untuk mencapai matlamat Dadah Terkawal 2030 menerusi penglibatan aktif masyarakat dalam membanteras penyalahgunaan dadah.