Pendekatan berhemah bantu ibu bapa tangani kos persiapan sekolah

Tinjauan ibu bapa membuat persiapan membeli barangan sekolah di sekitar ibu kota.

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu yang bermula Isnin ini menyaksikan kebanyakan ibu bapa memilih pendekatan berhemah dan terancang dalam membuat persediaan untuk anak-anak mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan semula pakaian dan kelengkapan sekolah mengurangkan perbelanjaan keluarga secara signifikan.
  • Pembelian minimum hanya menambah keperluan penting seperti kasut dan beg sekolah.
  • Perancangan berhemah meringankan beban kewangan walaupun persiapan dibuat saat akhir.

Tinjauan RTM di beberapa pusat beli-belah dan kedai kelengkapan sekolah mendapati ramai ibu bapa menggunakan semula barangan sekolah yang masih elok sebagai langkah bijak mengurus perbelanjaan keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Menurut Solehudin Hussin, penggunaan semula pakaian dan kelengkapan sekolah daripada tahun sebelumnya membolehkannya menjimatkan sehingga 40 peratus perbelanjaan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga.

“Saya ada dua orang anak. Untuk persiapan sekolah, saya banyak menggunakan peralatan tahun-tahun sebelum ini seperti pakaian, baju dan seluar. Di situ saya rasa dapat jimatkan kos. Tambahan pula Ramadan semakin hampir, jadi kalau boleh memang saya nak jimatkan perbelanjaan,” katanya.

Bagi Muhammad Izwan Khalib pula, pembelian dilakukan secara minimum dengan hanya menambah barangan keperluan tertentu seperti kasut dan beg sekolah, manakala pakaian masih boleh digunakan selagi berada dalam keadaan baik.

Menurut Shagilla Krishnasamy, perbelanjaan persekolahan keluarganya meningkat sehingga 50 peratus tahun ini berikutan dua orang anaknya memulakan sesi persekolahan serentak.

“Sebelum ini hanya seorang anak ke sekolah, tetapi kali ini dua orang. Selepas hadiri orientasi darjah satu, banyak keperluan yang perlu disediakan. Anak sulung pula semakin membesar, jadi walaupun tahun lepas beli pakaian, tahun ini tetap perlu beli yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Norliza Yusoff memaklumkan persiapan persekolahan anak-anaknya bagi tahun ini lebih terkawal berbanding tahun lalu hasil penggunaan semula pakaian sekolah yang masih sesuai dipakai.

Dalam pada itu, kesibukan bekerja menyebabkan Mareeyamah Alagapan terpaksa membuat persiapan pada saat akhir, namun tetap berusaha memastikan keperluan anak-anak dipenuhi.

“Disebabkan saya bekerja, persiapan dibuat saat akhir. Sekarang pun masih mencari skirt sekolah. Memang agak kelam-kabut,” katanya.

Bagi Sathiabama Sarasirmam pula, penggunaan semula barangan sekolah lama membantu mengurangkan kos keseluruhan.

“Beg sekolah dan bekas pensel semua guna semula. Jadi perbelanjaan memang berkurang, walaupun sedikit,” katanya.

Walaupun persiapan dilakukan pada saat akhir, pendekatan berbelanja secara berhemah dan mengutamakan keperluan dilihat mampu meringankan beban kewangan ibu bapa menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.