fb fb fb fb fb

Pendedahan PAC, KESUMA lakukan audit dalaman

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melakukan audit dalaman untuk menyiasat masalah dalam dua sistem pengurusan pekerja asing, seperti didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Arahan ini diberikan kepada Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Menterinya, Steven Sim menegaskan, pihaknya sedang melakukan pembaharuan bagi menambah baik urusan pengambilan pekerja asing dalam usaha membanteras segala kepincangan berhubung urusan berkenaan.

"Dari segi dalaman, saya telah arahkan KSU melakukan audit dalaman supaya kita boleh meletakkan proses imbangan dan saya yakin dengan pembaharuan yang kita laksanakan dalam masa enam bulan ini, memang kita nampak ada penambahbaikan dari segi pengurangan proses birokrasi.

"Dan kita nak kurang, hapuskan ruang-ruang yang memberikan peluang sama ada orang dalam atau luar untuk mengambil kesempatan ke atas proses permohonan bukan sahaja warga asing, tetapi semua proses permohonan dalam kementerian", katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Pertukaran Surat Niat Kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (JWP).

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama ketika sidang media di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut pendedahan PAC itu, Steven Sim terbuka untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk PAC sekiranya diminta.

Selain itu, beliau menyerahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

ROSLINA BINTI DIN