fb fb fb fb fb

Pendapatan pelancongan disasar peroleh RM102.7 bilion

Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yakin sasaran pendapatan pelancongan sebanyak RM102.7 billion bagi tahun ini dapat dicapai menerusi Jualan Mega Malaysia 2024.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, ketidaktentuan ekonomi global ketika ini yang mungkin mempengaruhi nilai ringgit namun ia memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong.

"Ia akan memberikan satu peluang yang baharu dan saya yakin setiap krisis itu ada peluang dan inilah masanya untuk kita pastikan masyarakat di luar sana berbelanja dengan sebanyak mungkin.

"...untuk mereka bergembira dan membeli belah di negara kita, kerana pengaruh nilai ringgit. Ini merupakan waktu yang tepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Mega Malaysia 2024 di ibu negara.

Acara ini akan bermula pada 15 Jun hingga 31 Julai depan melibatkan peruncitan dan pusat membeli-belah terkemuka di Malaysia dengan potongan harga sehingga 85 peratus.

Pihaknya turut mengadakan libat urus bersama-sama peruncit kompleks membeli-belah bagi memastikan ia dapat menyediakan harga yang berpatutan bagi menarik minat pelancong.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI