KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Pasukan SAR terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur telah mula menjalankan pemeriksaan di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam memasuki hari ke-4 operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga India dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lalu.
Pasukan SAR mula menjalankan pemeriksaan sejak pukul 8.00 pagi tadi, di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.
Selain itu, pihak IWK juga giat melakukan teknik 'flushing' di beberapa lurang kumbahan berhampiran lokasi kejadian bagi mengesan mangsa.
Teknik 'flushing' adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Semalam, dalam satu sidang media Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman menyatakan operasi SAR akan diteruskan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa.
Bagaimanapun pihak polis juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi India bagi melanjutkan visa keluarga mangsa yang berada di ibu negara.
Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumi, 48 tahun dan keluarganya berasal dari Andhra Pradesh, India sedang bercuti di negara.
Mangsa hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada pukul 8.22 pagi Jumaat lalu.