fb fb fb fb fb

Pencarian MH370: Kerajaan teliti cadangan Ocean Infinity

Foto hiasan/Foto RTM

HULU SELANGOR, 4 Mei -Kerajaan akan meneliti cadangan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity bagi meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan, pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan , Anthony Loke menjelaskan, firma itu bersedia memulakan misi pencarian November ini, namun perkara berkenaan perlu melalui beberapa proses serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.

"Saya tidak boleh mendahului Kabinet sebab sekarang kita perlu buat beberapa langkah antaranya kita perlu bincang lanjut maklumat yang diberikan dan perlu ada satu perjanjian antara kerajaan dengan Ocean Infinity.

"Sebab ini melibatkan implikasi kewangan sekiranya pesawat itu dapat dicari. Jadi,ia memerlukan kelulusan kabinet untuk mulakan misi pencarian", katanya yang ditemui media selepas melancarkan Karnival Kerjaya ERCL di Batang Kali, di sini.

Menurut Loke, ketika ini, proses pencarian semula pesawat MH370 tidak boleh dilaksanakan berikutan keadaan cuaca di Laut Hindi tidak begitu baik.

Tambahnya, misi pencarian ini tidak melibatkan sebarang kos dan pembayaran hanya akan dibuat sekiranya pesawat berkenaan berjaya ditemui.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Kerjaya ERCL di Batang Kali, Hulu Selangor, hari ini.

Kelmarin, Ocean Infinity membentangkan pelan baharu kepada Kementerian Pengangkutan bagi meneruskan pencarian pesawat yang membawa 280 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD