KUALA LUMPUR, 19 Februari – Penambahbaikan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bertujuan mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan SOSMA kekal berkesan dalam menangani jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.
"Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri telah merumuskan tiga hala tuju utama dalam penambahbaikan SOSMA, termasuk semakan semula senarai kesalahan yang tidak boleh dijamin, dengan meneliti 73 kesalahan sedia ada.
"Kedua, pertimbangan penubuhan Mahkamah Khas, bagi mempercepatkan proses pengadilan kes berkaitan SOSMA serta kajian ke atas Seksyen 30 berhubung penahanan sehingga selesai proses undang-undang, sebagai bukti kesediaan kerajaan untuk berganjak daripada status quo tanpa mengabaikan keselamatan dan hak individu yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan menteri berhubung cadangan kajian semula SOSMA di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan sebuah Jawatankuasa Khas akan dibentuk bagi memperhalusi cadangan pindaan dan hasil dapatan akan dibentangkan secepat mungkin.
“Lagi cepat Jawatankuasa Khas ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita dapat bentang. Kita ada sesi Julai, sesi Belanjawan dan sesi Februari tahun hadapan,” katanya.
Tambah Saifuddin, sementara proses penambahbaikan berlangsung, kerajaan tidak akan mengambil sikap sambil lewa dalam menangani ancaman jenayah keganasan dan jenayah terancang yang masih wujud dalam negara.