Pemodenan TUDM: Aset baharu ANKA-THS perkukuh kawalan strategik Laut China Selatan

FOTO FACEBOOK TENTERA UDARA MALAYSIA

LABUAN, 4 April – Skuadron 11 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baharu dalam pemodenan aset pertahanan negara apabila berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama pesawat ANKA-THS di Pangkalan Udara Labuan, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • ANKA-THS memperkukuh keupayaan ISTAR TUDM bagi pemantauan strategik.
  • Dikhususkan untuk pemantauan Wilayah Timur dan kepentingan negara termasuk Laut China Selatan.
  • Ujian melibatkan koordinasi MPOU, MAWILUD 2 serta agensi luar seperti CAAM, BGSP, SKMM dan MET Malaysia.
  • Keupayaan teknikal melebihi 20 jam penerbangan, mampu pemantauan tepat siang dan malam dalam pelbagai cuaca.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan ujian penerbangan selama tiga jam itu merupakan fasa persediaan penting sebelum penyerahan rasmi aset baharu berkenaan kepada pihak TUDM.

“Pesawat ANKA-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) ini bakal memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR) TUDM.

“Ia dikhususkan bagi pemantauan strategik di Wilayah Timur serta kawasan kepentingan negara termasuk di Laut China Selatan”, menurut kenyataan itu.

Kejayaan penerbangan sulung berkenaan adalah hasil koordinasi antara pelbagai pihak termasuk Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2), serta kerjasama agensi luar seperti CAAM, BGSP, SKMM, dan MET Malaysia.

Dari segi teknikal, pesawat tersebut mempunyai keupayaan durasi penerbangan melebihi 20 jam dan mampu melaksanakan pemantauan tepat dalam pelbagai keadaan cuaca, sama ada siang mahupun malam.

Perolehan aset tersebut merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

TUDM dalam kenyataan turut memaklumkan , kehadiran pesawat itu akan meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi pengawasan maritim dan pengumpulan maklumat perisikan demi kedaulatan negara.