fb fb fb fb fb

Pemilik pasar mini mengaku rasuah RM600 kepada penguat kuasa MBIP

(Low Yet Keong mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 14 Jun- Seorang pemilik kedai runcit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM600 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Low Yet Keong, 43, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai depan untuk hukuman.

Dia didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM600 kepada Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 (Unit Elite) MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah pasar mini yang melanggar syarat lesen perniagaan MBIP iaitu menjual barang basah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pasar Mini Sri Skudai, Jalan Emas Putih 5, Taman Sri Skudai, 12.50 tengah hari, 1 November 2022.

Yet Keong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendali pegawai pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam, Shaik Saleem SM Daud.

Nik Lokman meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam bela tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh menyara tiga orang anak dan mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor.

(Low Yet Keong)

Media Baharu