fb fb fb fb fb

Pemilik dashcam diminta tampil jadi saksi, bantu siasatan polis

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan/ BERNAMA

KEMAMAN, 12 Februari- Polis mempelawa pemilik kamera papan pemuka atau 'dashcam' agar tampil menjadi saksi untuk setiap kes kemalangan atau samseng jalan raya bagi membantu kelancaran Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata kerjasama tersebut akan memudahkan siasatan pihak polis terhadap setiap laporan kemalangan yang diterima sepanjang operasi tersebut dilaksanakan.

"Dengan pendekatan ini semua pemilik dashcam akan menjadi mata-mata awam kepada semua agensi penguatkuasaan," katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan seorang lelaki tempatan yang memandu secara berbahaya di jambatan berdekatan Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih, di sini seperti dalam sebuah rakaman video dashcam yang tular telah ditahan pihaknya pada 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata rakaman tersebut membantu siasatan polis mendapatkan waktu kejadian yang tepat, iaitu pada 8.15 pagi, 8 Februari lepas.

"Suspek berusia lingkungan 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan. 

"Permohonan reman akan dilakukan esok dan hasil ujian air kencing negatif serta tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI