IPOH, 7 Julai- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam sewajarnya mengambil iktibar atas sifat sabar dan kegigihan Nabi Muhammad SAW serta pemikiran strategik baginda ketika memperkenalkan perkara baharu.
Titah Sultan Nazrin, pemikiran strategik baginda SAW itu merangkumi daya komunikasi dan daya penyampaian yang berkesan hingga berjaya menyatukan puak-puak berselisih menjadi ummah ketika peristiwa hijrah.
"Baginda SAW tidak gopoh untuk menyampaikan mesej Islam secara terbuka. Baginda juga tidak terburu-buru untuk terus mengisytiharkan bumi Mekah ditadbir urus berpaksikan Islam. Sebaliknya baginda meneliti suasana dan persekitaran lalu memilih pendekatan sesuai... memperkenalkan Islam pada peringkat awal melalui gerakan dakwah," titah baginda.
Justeru, Sultan Nazrin menyarankan agar strategi Rasulullah SAW tersebut dikaji, difahami dan diadaptasi untuk penyelesaian konflik, sekali gus melengkapkan diri dalam menghadapi cabaran terutama bagi pemimpin semasa.
Sultan Nazrin bertitah demikian sempena sambutan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini bertemakan "Minda Strategik Pencetus Ummah Dinamik".
Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Madya Dr Ahmad Husin Hasan, manakala Anugerah Saidina Abu Bakar As Siddiq (Tokoh Ar-Ridzuan) disandang oleh Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud.