KUCHING, 27 Jun- Persatuan Pandu Puteri Malaysia, PPPM perlu mempertingkat dimensi keterlibatan dalam memperkasa masyarakat serta membantu kerajaan mendepani cabaran seperti kepesatan perkembangan tekonologi dan perubahan iklim.
Yang di-Pertua Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Datuk Dayang Morliah Awang Daud memberitahu ia bertepatan dengan visi persatuan sendiri untuk memacu perubahan dalam konteks memperkembangkan potensi wanita dalam negara.
Selain itu ujarnya, fokus utama juga dipandu oleh misi untuk melahirkan golongan wanita berkualiti melalui penerapan ilmu di peringkat nasional mahu pun global.
Beliau memberitahu demikian Majlis Perasmian Persidangan Pandu Puteri Malaysia di Kuching hari ini.
Justeru itu, katanya, persidangan kali ini dimuatkan dengan pembentangan isu-isu semasa seperti pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan masyarakat dan pembendungan gejala sosial menerusi pengurusan stress.
Beliau menambah, satu pembentangan khas juga akan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, mengenai peranan wanita dalam pembangunan negeri untuk menambah ilmu dan memperkasakan ahli-ahli PPPM.
Lebih 200 perwakilan Pandu Puteri seluruh negara hadir dalam persidangan dua hari tersebut bermula hari ini dan esok.
Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-59 2024 PPPM akan disempurnakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Sabtu ini.