KOTA BHARU, 25 November - Pintu sempadan bagi kedua-dua negara melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Thailand akan dibuka seawal pukul 6.00 pagi.
Pembukaan itu apabila pelaksanaaan penguatkuasaan larangan melalui laluan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia bertujuan memudahkan urusan pelajar menggunakan laluan yang sah.
Katanya, kedua-dua negara tidak mempunyai masalah untuk membuka ICQS lebih awal berbanding 7.00 pagi sebelum ini.
"Insha-Allah sebab kerjasama antara imigresen sebelum COVID-19 lagi pukul 6.00 ini. Cuma apabila COVID-19 jadi pukul 7.00. Jadi bukan apa kita bimbang budak-budak sekolah," kata Mohd Yusoff.
Jelas beliau, berdasarkan kajian dan tinjauan lebih 85 peratus bersetuju dengan pendekatan dilakukan PDRM dengan kerjasama pasukan keselamatan yang lain bertujuan menangani kes penyeludupan sejak sekian lama.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengadakan mesyuarat melibatkan pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) MKN Hamzah Ishak berkata, larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember depan terpakai untuk semua termasuk pelajar.
Namun, terdapat mekanisma tertentu untuk pelajar yang menggunakan pangkalan haram terbabit untuk ke sekolah yang akan diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Media sebelum ini melaporkan hampir 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di negara ini.