fb fb fb fb fb

Pemborong, peniaga diingatkan tidak ambil kesempatan, simpan barang untuk raih untung ketika PRU15

(Tan Sri Annuar Musa ditemu bual media selepas menyampaikan bantuan kepada 212
keluarga mangsa ribut dalam kawasan Parlimen Ketereh, Kota Bharu, hari ini) 

KOTA BHARU, 23 Oktober - Pemborong dan peniaga diingatkan supaya tidak cuba mengambil kesempatan dengan menyimpan bekalan barangan bagi tujuan untuk meraih keuntungan ketika musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya memandang serius aktiviti itu selain mengakui ada menerima aduan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan Selasa ini bagi mendengar maklum balas daripada agensi penguatkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Saya ingin membuat seruan kepada semua peniaga untuk memberikan kerjasama, jangan melakukan 'holding' atau simpanan barang-barang sebab ia mempunyai kesan besar, bila bekalan kurang rakyat tetap nak beli juga barang yang sama, jadi memang lah rakyat akan membayar dengan harga yang mahal tapi cara sedemikian tidak baik kerana pertama ia menyusahkan orang ramai, keduanya mengambil keuntungan yang berlebihan di saat orang ramai susah bukanlah satu perbuatan mulia," kata beliau kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada 212 keluarga mangsa ribut dalam kawasan Parlimen Ketereh, di sini hari ini.


(Foto fail)

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia turut menasihati peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sempena PRU dan musim tengkujuh.

Menurutnya selain faktor PRU15, ada kemungkinan peniaga menyimpan barang niaga sempena musim tengkujuh dan sekiranya mereka menyimpan barang kawalan, ia menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut akta tertentu.

Media Baharu