
KUALA KRAI, 18 Januari – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu–Gua Musang, berhampiran Simpang Manek Urai Baru, Kuala Krai, Kelantan, pagi tadi.
- Mangsa lelaki berusia 27 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kuala Krai.
- Kemalangan berlaku apabila kereta dipercayai membelok ke kanan memasuki simpang tanpa memberi laluan.
- Penunggang motosikal cedera ringan; mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta hubungi polis jika ada maklumat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang datang dari arah Kota Bharu dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki simpang menuju ke Kampung Manek Urai Baru.
“Pada masa sama, sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mangsa bersama penunggangnya datang dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal terbabit melanggar bahagian hadapan kiri kereta yang sedang membelok.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah manakala penunggang motosikal hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu kereta yang memasuki simpang tanpa memberi laluan kepada motosikal yang berada di laluan lurus.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.