fb fb fb fb fb

Pembinaan semula jambatan di Slim Village akan dimulakan segera

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin / Foto RTM

TANJUNG MALIM, 24 Ogos - Kerja-kerja membina semula jambatan dan membaik pulih jalan di Slim Village, Slim River, di sini akan dimulakan dengan segera susulan kejadian kepala air dan empangan pecah yang berlaku, pada Jumaat.

Laluan tersebut merupakan jalan utama bagi penduduk kampung.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata proses pembaikan tersebut akan dipercepatkan, termasuk memohon peruntukan untuk membina semula jambatan kepada kerajaan pusat.

"Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang akan datang dan akan cadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan peruntukan atau kita minta daripada kerajaan pusat melalui Ahli Parlimen Tanjung Malim.

"Ini adalah kejadian pertama seumpamanya, jadi jika proses-proses itu dapat dipercepatkan, kita dapat peruntukan yang lebih untuk usaha membina semula jambatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu, di sini.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN