SEREMBAN, 16 April-Mana-mana pihak yang ingin membina rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan perlu mematuhi peraturan serta syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pembinaan rumah ibadat perlu mengambil kira sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Kita minta supaya sensitiviti semua kaum diambil kira. Tak boleh dalam satu kawasan yang terlalu dekat ada dua, tiga kuil.
"Perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh pihak tertentu,” katanya.
Tambah beliau, isu rumah ibadat kadangkala digembar-gemburkan hingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat. Justeru semua pihak perlu menghormati dan hidup secara harmoni dalam masyarakat majmuk.
“Kita harap mereka menerima perkara ini sebagai isyarat bahawa kita hidup serumpun dalam satu rumah besar dan perlu saling menghormati,” jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan tiada laporan mengenai pencerobohan tanah negeri termasuk kawasan hutan simpan setakat ini.
Menurut beliau, dasar kerajaan negeri adalah jelas iaitu mana-mana pihak yang ingin mengusahakan tanah atau menjalankan aktiviti pertanian perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.
“Mereka yang menanam kelapa sawit, getah, durian dan tanaman kontan lain di tanah kerajaan sebelum ini telah diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS),” katanya.