BAU, 23 Januari- Pembinaan jambatan gantung kabel baharu di Kampung Tringgus Bong, Bau terpaksa dipercepatkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu, Miro Simuh berkata ini susulan jambatan gantung yang sedia ada telah roboh semalam selepas dibadai kepala air.
Oleh itu beliau berharap pembinaannya dapat dimulakan seawal hujung Februari depan.
Jelasnya, kos pembinaan RM1 juta dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah diperuntukkan bagi pembinaan jambatan gantung itu.
Miro menjelaskan perkara itu kepada RTM di Seniawan, Bau hari ini.
Jambatan sepanjang 25 meter berusia lebih 20 tahun itu runtuh selepas dibadai arus deras pada malam selasa lepas berikutan hujan lebat lebih tiga jam.
Keruntuhan jambatan itu menjejaskan aksesibiliti lebih seratus penduduk di kampung terbabit.
Buat sementara waktu, penduduk di kampung itu terpaksa menggunakan jalan alternatif yang menelan masa 25 minit melalui jalan sekolah.