KUALA LUMPUR, 2 November - Kerajaan sedang mengkaji model pelaksanaan baharu bagi meneruskan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia antaranya melibatkan kajian modal untuk mengetahui jika ada pihak swasta yang berminat menampung kos pembinaan jajaran, pengurusan sistem dan pengoperasian HSR itu.
"Malaysia melalui MyHSR Corp sedang melaksanakan RFI (permintaan maklumat) dan banyak syarikat menunjukkan minat dan sudah menghantar proposal, ada yang minta supaya diberi sedikit masa lagi untuk mereka memuktamadkan cadangan mereka, kita sedang pertimbangkan, tetapi kita hendak cari satu kaedah pembiayaan yang sesuai terlebih dahulu," katanya.
Loke berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, di sini.
Mengulas lanjut, Loke berkata selepas selesai melakukan RFI dan menemui kaedah pembiayaan sesuai, cadangan pembinaan HSR akan dibentang kepada Jemaah Menteri.
Ini bagi mendapatkan persetujuan sebelum dilanjutkan untuk dibincangkan bersama Singapura.