fb fb fb fb fb

Pemberimilikan tanah keluarga Amar Baharin berlaku akibat kesilapan teknikal

Foto hiasan

SHAH ALAM, 9 Mei- Isu pertindihan plot ke atas pemberimilikan tanah milik keluarga pelakon Amar Baharin di Semenyih berlaku disebabkan kesilapan teknikal semasa proses membuat carta secara manual ke dalam lembar lito (litho sheet) di Unit Teknikal Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL).

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan terdapat dua permohonan pemberimilikan secara berkelompok yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kawasan yang sama pada tahun 1978 dan 1995.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku pengeluaran dua hakmilik atas satu plot tanah yang sama sebagaimana yang dibangkitkan oleh pengadu.

"Dapatan ini adalah hasil daripada siasatan yang diterima melalui PDTHL yang mentadbir kawasan pentadbiran tanah Daerah Hulu Langat," katanya.

Semalam Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengulas isu itu berkata, status tanah milik keluarga pelakon berkenaan dipindah milik kepada orang lain tanpa pengetahuan, telah diratifikasi semula.

Pihaknya akan berhubung dengan Amar Baharin bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Sebelum ini pelakon itu memuat naik satu hantaran menerusi instagram telah menuntut penjelasan PTGS berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih sedangkan cukai tanah dibayar oleh ibunya.

Perkara itu berikutan tanah milik keluarganya itu dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain, dan beliau turut mempersoalkan pihak yang meluluskan geran kedua untuk individu lain.

Dalam kenyataan sama PTGS memaklumkan pihak PDTHL telah berjaya mengenal pasti satu plot tanah yang berhampiran bagi menggantikan tanah yang bertindih itu, dan PDTHL akan memanggil pemilik tanah terbabit untuk memberikan penerangan mengenai proses penggantian plot tanah berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI