fb fb fb fb fb

Pemberian kepada kerajaan negeri meningkat, RM8.9 bilion tahun ini - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 April- Peruntukan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri meningkat sebanyak RM8.9 bilion tahun ini berbanding RM8.3 bilion pada 2023 dan RM8.1 bilion pada 2022.

Persetujuan tersebut dibuat pada Mesyuarat Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"Persetujuan telah dicapai agar peruntukan Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri ditingkatkan kepada sekitar RM8.9 bilion ketimbang (berbanding) RM8.3 bilion pada 2023 dan RM8.1 bilion pada 2022.

"Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan tahun ini untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri ketimbang RM36.7 bilion pada 2023 dan RM28.8 bilion pada 2022.

"Peningkatan (peruntukan) ini selaras dengan amanah yang saya pikul selaku Perdana Menteri untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat Malaysia tanpa mengira batas politik, kaum atau agama," kata beliau menerusi Facebooknya.

Dalam hantaran itu, Anwar berkata, pemberian tersebut akan disalurkan ke seluruh negeri secara serentak.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan komited untuk terus bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara menyeluruh.

"Inilah prinsip manusiawi dan rahmatan lil alamin yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI. Semoga pemberian ini akan digunakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan," tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat terbabit yang turut dihadiri Menteri Besar serta Ketua Menteri.

SITI AISHAH MD ISA