
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Pemberian dividen sebanyak 6.15 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan agensi itu serta keyakinan berterusan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara.
- Dividen 6.15% mencerminkan kekuatan pengurusan pelaburan KWSP.
- Pencapaian dicapai walaupun pasaran global mencabar sepanjang tahun lalu.
- Kerajaan MADANI menyokong prestasi dan komitmen kepada dasar mampan.
- Matlamatnya meningkatkan kesejahteraan rakyat dan keyakinan perancangan persaraan.
Sambil menyambut baik prestasi itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut direkodkan walaupun berdepan persekitaran pasaran global yang mencabar sepanjang tahun lalu.
“Alhamdulillah, KWSP mengisytiharkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Shariah untuk tahun 2025 dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.
“Kerajaan MADANI menyambut baik prestasi ini dan akan terus melaksanakan dasar yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, agar setiap warga mampu merancang masa depan dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi kedua-dua simpanan konvensional dan syariah dengan jumlah agihan masing-masing RM67.1 bilion dan RM12.5 bilion.