KUALA LUMPUR, 29 Januari- Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu yang akan memanfaatkan 8.2 juta penerima, akan dikreditkan bermula hari ini.
Pembayaran akan dilakukan secara berperingkat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR, sama ada pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalur secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pembayaran dibuat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Terdahulu, kerajaan bersetuju menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah berbanding bayaran maksimum RM300 tahun lalu.
Bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula, penerima layak menerima bayaran RM100 hingga RM300.
Bagi penerima kategori warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.