fb fb fb fb fb

Pembayaran secara tunai STR, SARA di pedalaman Sarawak bermula 19 Oktober

FOTO FAIL BERNAMA

KUCHING, 11 Oktober- Kaunter pembayaran secara tunai Sumbangan Tunai Rahmah, STR dan Sumbangan Asas Rahmah, SARA tahun 2024 bagi penerima tiada akaun bank di kawasan pedalaman Sarawak akan dibuka antara 19 Oktober dan 24 November ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia Sarawak, pembukaan kaunter akan melibatkan tiga zon.

Pembukaan kaunter akan dimulakan di Zon Selatan melibatkan lima lokasi.

Pada 19 dan 20 Oktober, kaunter akan dibuka di Dewan Masyarakat Sri Krian dan Dewan Mesra Simunjan.

Di Pejabat Daerah Lingga dan Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Sebuyau, kaunter akan dibuka pada 23 November dan di Dewan Masyarakat Tebedu pada 23 dan 24 November.

Manakala bagi Zon Tengah, program penunaian dibuka di empat lokasi.

Ia melibatkan Stadium Perpaduan Dalat dan Dewan Masyarakat Daro pada 9 November serta di Dewan Masyarakat Julau dan Laman Pakan iaitu berdekatan Dewan Masyarakat Pakan pada 16 November.

Bagi Zon Utara pula, sebanyak enam lokasi ditetapkan untuk pembayaran tersebut.

Ia membabitkan Dewan SMK Bakong, Miri pada 26 Oktober selain Dewan Masyarakat Bekenu dan Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama pada 26 hingga 27 Oktober.

Lokasi lain ialah Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Apau Koyan, Sungai Asap dan Dewan SK Tatau pada 2 dan 3 November, serta Balai Raya Sebauh pada 9 November.

Perbendaharaan Malaysia Sarawak berkata bagi melancarkan program penunaian, para penerima atau waris berdaftar diwajibkan hadir pada tarikh yang telah ditetapkan seperti tertera pada surat jemputan serta membawa bersama kad pengenalan atau Mykid atau Surat Beranak Asal.

Masa penunaian adalah dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang kecuali di Pejabat Daerah Lingga bermula 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Keutamaan untuk penerima warga emas iaitu 60 tahun dan ke atas dengan penyediaan laluan atau kaunter berasingan.

Sekiranya penerima atau waris berdaftar tidak dapat hadir ke lokasi bayaran pada tarikh yang ditetapkan, penunaian masih boleh dibuat di semua cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran sebelum 31 Disember 2024.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE