JOHOR BAHRU, 21 Februari- Dakwaan wanita warga Indonesia didera majikan seperti tular di media sosial semalam adalah palsu, sebaliknya hanya helah untuk pulang ke negara asal.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil siasatan terhadap kedua-dua belah pihak.
Siasatan juga mendapati tiada unsur penderaan berlaku ke atas wanita yang bekerja sebagai tukang bersih dan pembantu rumah asuhan di Johor Bahru itu.
Wanita berkenaan telah diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, tular video di TikTok mengenai kejadian yang berlaku pada Isnin lalu, mendakwa seorang wanita warga Indonesia didera majikan.
Orang ramai diseru untuk menyemak kesahihan sesuatu video yang diterima dalam sosial media, sebelum menyebarkannya.