
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa merobohkan pembangunan yang dilaksanakan tanpa kebenaran merancang, selaras peruntukan undang-undang sedia ada.
- PBT berkuasa merobohkan pembangunan yang dilaksanakan tanpa kebenaran merancang mengikut undang-undang.
- Pemaju dan pemilik tanah wajib mendapatkan kebenaran merancang sebelum melaksanakan sebarang pembangunan.
- PBT perlu mengeluarkan notis 30 hari sebelum melaksanakan tindakan perobohan.
- Tindakan perobohan mesti dijalankan secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Siti Sarah Sulaiman berkata, kuasa itu diperuntukkan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Seksyen 19 dan 21, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Menurut beliau, berdasarkan peruntukan tersebut, pemaju atau tuan punya tanah wajib mendapatkan kebenaran merancang sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan.
“Sebarang pembangunan tanpa kebenaran merancang dikira sebagai pembangunan haram dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau menjelaskan, sekiranya tuan punya tanah gagal mematuhi tanggungjawab tersebut, PBT berhak mengambil tindakan perobohan selepas notis 30 hari dikeluarkan, mengikut proses dan prosedur ditetapkan.
Dr. Siti turut menegaskan bahawa walaupun kuasa perobohan diperuntukkan undang-undang, setiap tindakan mesti dilaksanakan secara sah dan berlandaskan prosedur.