fb fb fb fb fb

Pembangunan syiar Islam, Dr. Na'im harap peruntukan ditambah

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar/Fail

KUALA KRAI, 27 September- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menambah peruntukan untuk syiar Islam semasa pembentangan Belanjawan 2025, Oktober ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata Perdana Menteri ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan perkembangan Islam termasuk para hafiz dan huffaz al-Quran.

"Harapan saya selaku Menteri Agama kita telah buat libat urus dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan saya percaya hasrat saya dan agensi-agensi supaya peruntukan tambahan diberikan kepada tahun ini."

"Saya yakin, Insya-Allah. YAB Perdana Menteri adalah pemimpin yang sangat prihatin berhubung pembangunan syiar Islam," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Program Santuni Komuniti Madani Bersama Masyarakat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab Kampung Telokong di Kuala Krai.

Terdahulu, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.

Peruntukan itu merangkumi pembinaan dua institusi pendidikan Islam iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM