Pembangunan sosioekonomi dinilai secara menyeluruh

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 FebruariKerajaan menilai tahap pembangunan sosioekonomi secara menyeluruh tidak hanya bergantung kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan dinilai secara menyeluruh bukan hanya bergantung pada KDNK, menggunakan indeks komposit untuk perancangan lebih tepat.
  • Indeks Kualiti Hidup Malaysia (MyWI) merangkumi subkomposit ekonomi dan sosial, kini ditambah subkomposit alam sekitar.
  • Kerajaan guna pelbagai metrik seperti Indeks Theil dan Nisbah Palma untuk menilai jurang agihan dan sokong dasar berasaskan data.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata ini bagi memastikan perancangan pembangunan yang lebih tepat dan berkesan.

Pengukuran turut dilaksana menerusi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

“Selain ukuran KDNK, kerajaan telah membangunkan satu indeks komposit iaitu Indeks Kualiti Hidup Malaysia yang terdiri daripada dua subkomposit, iaitu ekonomi dan sosial.

“Indeks ini dikeluarkan setiap tahun dan sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa.

“Pada tahun 2013, indeks ini telah dijenamakan sebagai Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia atau MyWI.

“Penilaian kerangka MyWI bagi tahun 2024 telah diperkukuhkan dengan pertambahan satu lagi subkomposit, iaitu alam sekitar, bagi melengkapkan subkomposit ekonomi dan sosial,” katanya.

Penyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman di Dewan Rakyat di sini.

Tambahnya, kerajaan turut menggunakan beberapa metrik lain seperti Indeks Theil, Indeks Atkinson, Nisbah Serakan Persentil dan Nisbah Palma untuk memberikan gambaran yang lebih luas dan mendalam berkaitan jurang agihan pendapatan di Malaysia.

Penggunaan pelbagai indikator ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membuat keputusan berasaskan data kukuh, demi memastikan pembangunan yang lebih inklusif, seimbang dan mampan untuk seluruh rakyat Malaysia.