ALOR SETAR, 5 Februari- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, sudah tiba masanya untuk melahirkan kanak-kanak serba lengkap dengan kemahiran insaniah atau 'soft skills' menerusi pembangunan sahsiah.
Baginda bertitah, pelaksanaan pembangunan ini perlu diperkukuh bagi melahirkan kanak-kanak yang seimbang dan sepadu dari segi rohani dan jasmani melalui penerapan Aqidah yang sahih, penghayatan dalam amalan serta penerapan nilai dan akhlak yang mulia.
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, pembangunan kanak-kanak akan terus diberi perhatian dengan memberi penekanan dalam membentuk modal insan yang mempunyai nilai tambah.
Ia sebagai jaminan ke arah melahirkan kanak-kanak yang berkualiti.
Baginda turut mengajak semua pihak memastikan Tadika Islam terus berupaya lebih disegani dan dihormati sebagai penjana ilmuan cilik.
Tengku Sarafudin Badlishah bertitah demikian pada Majlis Haflah Atfal Tadika Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman 2024/1445H di Alor Setar.
Pada majlis itu, Raja Muda Kedah perkenan mengurniakan sijil pencapaian cemerlang pelajar dan guru kepada empat penerima.
Manakala Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff perkenan mengurniakan sijil kepada 232 penerima.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Setiauasaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Dr Abd Ghani Zainuddin.