fb fb fb fb fb

Pembangunan mercu tanda, perlu beri manfaat kepada rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan pembangunan mercu tanda baharu di negara ini memberi manfaat kepada rakyat, mendapat reaksi positif pakar ekonomi negara.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pendekatan yang fokus kepada keberkesanan sosial dan ekonomi lebih penting daripada sekadar simbolik atau pembaziran sumber.

"Kita tidak mahu apabila mercu tanda ini dibina, ia dibiayai melalui hutang baharu yang akhirnya bukan sahaja akan ditanggung oleh kerajaan, tetapi juga oleh rakyat untuk tahun-tahun akan datang.

"Kebiasaannya, jika kerajaan tidak dapat menampung kos hutang tersebut, mekanisme seperti menaikkan kadar cukai atau memperkenalkan cukai baharu akan dilaksanakan," katanya kepada RTM.

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan bahawa projek pembangunan seharusnya memberi nilai tambah kepada masyarakat termasuk melalui penganjuran aktiviti yang melibatkan golongan memerlukan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM