
ARAU, 6 Februari – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menghargai amanah, menghormati usaha serta menilai sumbangan insan sebagai aset strategik institusi dalam menjayakan Pemasyhuran dan Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ yang berlangsung penghujung tahun lalu.
- Keupayaan universiti mengurus perubahan dan mengekalkan standard tinggi mencerminkan kematangan institusi dalam program berimpak tinggi.
- Kepimpinan jelas serta budaya kerja bertanggungjawab, berdisiplin dan fokus penyelesaian menjadi kunci kelancaran penganjuran.
- Profesionalisme kakitangan, penglibatan pelajar dan peranan media memperkukuh naratif kecemerlangan dan amanah UniSIRAJ.
Naib Canselor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, keupayaan universiti mengurus perubahan, menyatukan kepelbagaian peranan serta mengekalkan standard tinggi walaupun berdepan kekangan masa menjadi kayu pengukur sebenar kematangan sesebuah universiti dalam melaksanakan program berimpak tinggi.
“Kejayaan dan kelancaran penganjuran kedua-dua program ini membuktikan UniSIRAJ memiliki daya kepimpinan institusi yang jelas serta mengamalkan budaya kerja yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berfokus kepada penyelesaian, bukan budaya alasan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pelajar yang terlibat dengan menyifatkan penglibatan mereka dalam program berkenaan mencerminkan falsafah UniSIRAJ bahawa pelajar bukan sekadar penerima ilmu, malah rakan pembangunan universiti.
Menurut beliau, profesionalisme, kecekalan serta kesediaan kakitangan UniSIRAJ memimpin perubahan sepanjang penganjuran majlis tersebut merupakan cerminan kekuatan sebenar universiti berkenaan.
Dr. Muhamad Rozaimi memaklumkan perkara itu pada Majlis Apresiasi Bersempena Penganjuran Pemasyhuran dan Istiadat Konvokesyen UniSIRAJ Ke-8 Tahun 2025 di sini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media dan komunikasi yang memainkan peranan penting dalam memposisikan UniSIRAJ secara strategik di mata masyarakat.
“Keterlihatan universiti bukan sekadar soal liputan, tetapi soal naratif yang dibina, iaitu naratif kecemerlangan, nilai dan amanah,” katanya.