Pemandu pelancong wajib lulus kursus ILP

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari -Semua pemandu pelancong diwajibkan mengikuti kursus serta lulus ujian kecekapan yang dikendalikan oleh Institusi Latihan Pelancongan (ILP) yang diiktiraf sebelum layak dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu pelancong wajib lulus kursus dan ujian kecekapan ILP diiktiraf sebelum dilesenkan oleh MOTAC.
  • 47 ILP telah didaftarkan dan diiktiraf untuk melaksanakan latihan pemandu pelancong.
  • Kursus pemandu pelancong diiktiraf dalam sistem TVET melalui SKM Tahap 2 dan Tahap 3.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, setakat ini sebanyak 47 ILP telah berdaftar dan diiktiraf oleh MOTAC bagi melaksanakan latihan tersebut.

“Sebagai syarat pembaharuan lesen pula, pemandu pelancong perlu mengikuti Kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) atau kursus upskilling dan reskilling bagi menambah pengetahuan serta kemahiran, termasuk penguatkuasaan bahasa asing, sekali gus memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan.” katanya pada sesi soal jawab di parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Choon Man turut menjelaskan MOTAC turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi mengiktiraf kursus pemandu pelancong sebagai sebahagian daripada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

Pensijilan tersebut melibatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong Bandar (Tahap 3), Kursus Regional Specific Tourist Guide (RSTG) Sabah dan Sarawak (Tahap 3), serta Kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat (Tahap 2).

Usaha berkenaan dilihat mampu meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran dan kualiti perkhidmatan pemandu pelancong, sekali gus memperkukuh industri pelancongan negara.