KUALA KANGSAR, 10 Januari- Seorang lelaki bersama seorang kelindan mengalami kecederaan selepas lori yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 247 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu kira-kira pada pukul 4.21 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar telah digerakkan ke lokasi kejadian. Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis bonded lima tan dan sebuah treler dengan muatan getah.
"Operasi mengeluarkan pemandu lori berusia 46 tahun bersama seorang kelindan lelaki 15 tahun yang tersepit dijalankan pihak bomba menggunakan rescue tool," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Manakala pemandu treler lelaki berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi tamat pada pukul 5.31 pagi.