KUALA LUMPUR, 12 Mac- Pemain Industri sektor perladangan dan komoditi digalak menggunakan jentera berteraskan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata ia mampu mengatasi isu kekurangan tenaga buruh, mengurangkan kos operasi, serta meningkatkan produktiviti dan daya saing di peringkat global.
"Walaupun peralihan kepada teknologi AI mungkin menggantikan beberapa pekerjaan manual, ia juga mencipta peluang untuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam penggunaan, penyelenggaraan, dan pengurusan sistem automasi serta analisis data.
"Oleh itu, kerajaan sedang mempergiatkan usaha dalam menyediakan program latihan semula serta kerjasama dengan institusi pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknologi pertanian pintar," katanya di Dewan Negara di sini.
Setakat ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan dua aplikasi utama iaitu MySawit dan Tekno Sawit dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia.