Peluasan SARA perkasa golongan berpendapatan rendah

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terbukti berkesan dalam memberi manfaat besar kepada rakyat berpendapatan rendah, khususnya golongan B40, miskin dan miskin tegar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan SARA meningkatkan penerima dari ratusan ribu kepada jutaan, memperluas jangkauan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
  • Kadar bantuan dinaikkan kepada sehingga RM2,100 setahun bagi golongan miskin dan miskin tegar.
  • SARA membenarkan penggunaan kredit untuk lebih 100 barangan di ribuan kedai runcit terpilih, memudahkan akses pembelian.
  • Peluasan rangkaian kedai rakan dan penggunaan tinggi membantu merancakkan ekonomi setempat serta menyokong peniaga kecil.

Menurut Pakar Sains Sosial, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, berdasarkan data tahun lalu, jumlah penerima SARA telah meningkat secara ketara daripada sekitar 700,000 orang kepada 5.4 juta penerima, iaitu hampir peningkatan lapan kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Selain pertambahan penerima, kadar bantuan turut dinaikkan daripada RM1,200 kepada sehingga RM2,100 setahun bagi golongan miskin dan miskin tegar.

“Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan sampai secara lebih menyeluruh kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada RTM.

Prof. Madya Dr. Haliza menjelaskan, SARA memberi fleksibiliti kepada penerima untuk menggunakan bantuan berkenaan bagi membeli lebih 100 jenis barangan keperluan asas di lebih 8,400 kedai runcit terpilih di seluruh negara.

Tambah beliau, statistik turut menunjukkan keberkesanan penyampaian bantuan tersebut apabila kira-kira 98 peratus penerima menggunakan sepenuhnya kredit SARA untuk pembelian barangan asas, dengan jumlah perbelanjaan tahunan dianggarkan antara RM3.3 bilion hingga RM4.5 bilion.

“Ini membuktikan kadar penggunaan yang sangat tinggi serta penyampaian bantuan yang efektif kepada golongan sasaran.

“Jadi, SARA ini sememangnya dapat meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah, di samping membantu merangsang perbelanjaan barangan asas di pasaran tempatan serta memperkukuh sistem keselamatan sosial,” katanya lagi.

Bagi Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan jumlah kedai rakan SARA sehingga 10,000 unit membolehkan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih berkesan serta mudah diakses oleh golongan sasar.

Menurut beliau, sekiranya peruntukan berbilion ringgit yang disediakan kerajaan tidak disokong oleh kemudahan rangkaian kedai yang mencukupi, matlamat sebenar bantuan tersebut berisiko tidak tercapai.

“Bayangkan jika peruntukan besar diberikan kepada rakyat yang layak, tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk berbelanja kerana kekurangan kedai yang mengambil bahagian dalam SARA. Keadaan ini sudah tentu menjejaskan keberkesanan bantuan,” katanya.

Beliau menjelaskan, peluasan dan pertambahan bilangan kedai pada tahun ini membolehkan rakyat menikmati manfaat SARA dengan lebih segera, sekali gus menggalakkan peningkatan transaksi pertukaran barangan dan perkhidmatan di peringkat domestik.

Tambah beliau, kesan limpahan ekonomi daripada pelaksanaan SARA turut dirasai oleh peniaga tempatan, khususnya kedai-kedai runcit yang terlibat secara langsung dalam program tersebut.

“Peluasan SARA ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah, malah membantu merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perniagaan di kedai-kedai yang mengambil bahagian,” katanya lagi.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan