ARAU, 22 Mac – Usaha anak muda dan komuniti Kampung Jelempok menghidupkan kembali tradisi memasang pelita sempena Aidilfitri untuk mengeratkan silaturahim penduduk pelbagai generasi menerusi Program Pelita Panjut.
Inisiatif itu menyaksikan lebih 80 penduduk bergotong-royong menghiasi kawasan kampung dengan lebih 2,000 pelita, membawa kembali nostalgia sambutan Hari Raya yang kian dilupakan.
Menurut Penyelaras Program, Aiman Muhaimin Purkan, persiapan dimulakan seminggu sebelum Ramadan dengan mengumpul dana sumbangan serta buluh daripada penduduk kampung.
“Nak mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung… yang lama renggang tu, geng-geng muda dengan veteran-veteran kampung. Tak ada dah tradisi raya tahun ke tahun ni… jadi kita eratkan balik silaturahim tu, kita hidupkan semula tradisi untuk kampung kita,” katanya.
Beliau menambah, tradisi memasang pelita yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri suatu masa dahulu berjaya dihidupkan semula melalui semangat kerjasama penduduk.
“Pada usia saya belasan tahun dulu, memang ada di setiap kampung pasang pelita ni… tapi selepas tu dah tak ada dah. Tapi dengan program ni, dapatlah mengembalikan nostalgia sambutan Hari Raya zaman dulu-dulu lah,” katanya Pengerusi JPKKP Kampung Jelempok, Rois Anuar Man kepada RTM.
Anuar Man turut menyokong usaha tersebut yang bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan komuniti, tetapi juga menjadi daya tarikan kepada anak rantau yang pulang beraya.
Kemuncak Program Pelita Panjut akan berlangsung pada 26 Mac ini dan akan diserikan dengan majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di kawasan lapang kampung tersebut.