Pelita gergasi Alor Setar pecah rekod MBOR

Replika pelita gergasi di Taman Jubli Emas, Alor Setar mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pelita berfungsi terbesar di negara ini./BERNAMA


ALOR SETAR, 18 Mac –
Replika pelita gergasi yang dibina di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, di sini, berjaya mencipta sejarah selepas mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pelita berfungsi terbesar di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelita menggunakan minyak diesel sepenuhnya untuk menghasilkan api nyata.
  • Idea diilhamkan dari replika KLCC, dibina lebih besar untuk memecah rekod sedia ada.
  • Ketinggian 13.6 meter, diameter 20 meter dan ukur lilit 65 meter menunjukkan skala besar.
  • Orang ramai boleh menyaksikan pelita serta replika lain sempena Festival Pelita Raya hingga 29 Mac.

Pelita gergasi yang menjadi mercu tanda Festival Pelita Raya itu menggunakan minyak diesel sepenuhnya untuk menghasilkan api yang menyala secara nyata.

Pengurus Festival Pelita Raya, Azhani Osman berkata, pembinaan pelita tersebut mendapat inspirasi daripada replika di KLCC, namun dibina dengan skala yang jauh lebih besar bagi memecah rekod sedia ada.

“Idea ini timbul untuk memecahkan rekod di KLCC yang berketinggian 12 meter. Pelita gergasi kita ini bukan sahaja lebih besar, malah berpotensi memecah rekod dunia yang kini dipegang oleh Alberta, Kanada,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan sijil pengiktirafan tersebut.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Sementara itu, Pegawai Rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah mengesahkan bahawa pelita tersebut memenuhi kriteria sebagai ‘Pelita Berfungsi Terbesar’ (Largest Functional Pelita) di Malaysia selepas melalui proses verifikasi yang ketat.

“Apa yang unik ialah ia merupakan lampu pelita hidup yang menggunakan minyak diesel. Dengan ketinggian 13.6 meter, diameter 20 meter, dan ukur lilit 65 meter, ia secara rasmi diiktiraf sebagai yang terbesar di Malaysia,” jelas beliau.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pelita gergasi tersebut serta pelbagai tarikan replika pelita lain sempena Festival Pelita Raya yang berlangsung sehingga 29 Mac ini.