fb fb fb fb fb

KPM mahu kes pencemaran sungai dikawal, pantau situasi semasa

Beberapa kawasan di Johor dilaporkan mengalami gangguan bau busuk berpunca daripada sungai yang tercemar

KLUANG, 9 September- Kementerian Pendidikan terbuka untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan, bagi memastikan insiden pencemaran alam sekitar dapat dikawal, seterusnya memelihara suasana pembelajaran kondusif di sekolah.

Ia susulan kes pencemaran bau kimia baru-baru ini, yang memberi kesan di beberapa kawasan di Johor Bahru termasuk beberapa sekolah berhampiran dengan kawasan terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan memantau keadaan di sekolah-sekolah terlibat dan memandang serius terhadap pematuhan garis panduan ditetapkan berhubung isu pencemaran alam sekitar.

"Sebab itu saya sebut tadi, dari segi garis panduan itu, harus dipatuhi oleh semua pihak, khususnya pihak pihak sekolah, mestilah mengambil langkah langkah yang telah kita gariskan dalam garis panduan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perdana di sini hari ini. 

Fadhlina berkata pihaknya juga akan mendapatkan cadangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan sama ada terdapat keperluan untuk penutupan sekolah demi memastikan kesejahteraan pelajar dan guru.

Selan itu, beliau turut mengingatkan pihak pentadbir supaya mematuhi dan mengambil langkah ditetapkan dalam garis panduan disediakan KPM, terutama dalam menghadapi isu pencemaran.


SITI AIYSHAH BINTI BASLIE