LANGKAWI, 16 Julai - Sebanyak 200 anak benih karang jenis Tanduk Rusa ditanam dan ditenggelamkan di kawasan tukun Pulau Jemuruk, di sini.
Proses penanaman anak benih tersebut antara inisiatif yang dilaksana bagi memelihara dan memulihara ekologi marin laut di pulau tersebut.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata terdapat peningkatan populasi karang laut yang seterusnya meningkatkan populasi ikan-ikan dan hidupan marin, sejak aktiviti tersebut dilaksanakan.
"Kawasan berstatus geopark ini berpotensi menjadi satu daya tarikan pelancongan yang menarik disamping mendidik masyarakat untuk mengenali dan mempelajari bagaimana karangan laut menyumbang kepada diversiti serta populasi hidupan marin.
"Terumbu karang juga merupakan tempat pembiakan dan 'nursery' bagi ikan-ikan serta lain-lain kehidupan laut," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Sharifah, program itu juga merupakan satu usaha JAS bersama rakan strategik Etria Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd dalam memastikan kelestarian alam sekitar terutama terumbu karang berada dalam keadaan baik dan sentiasa terpelihara.