fb fb fb fb fb

Pelihara perpaduan ummah, tidak perlu label individu munafik - Mohd Na'im

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dengan perbuatan melabel individu atau pemimpin politik sebagai munafik.

Beliau berkata, perbuatan menggelar seseorang seperti kafir, fasik atau munafik adalah menyalahi hukum syarak jika dibuat tanpa bersandarkan bukti dan hujah yang kukuh.

“Sesungguhnya perbuatan memberi label sedemikian amat mendukacitakan kerana ia boleh mewujudkan kekeliruan dalam kefahaman masyarakat dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan serta permusuhan agama antara sesama umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Justeru beliau menyeru pemimpin politik agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara keutuhan perpaduan ummah serta membudayakan adab meskipun berbeza pendapat menerusi dialog dan perbincangan secara harmoni.

“Ia bagi meleraikan sebarang perbedaan dalam kaedah dan pendekatan urustadbir kenegaraan semasa,” katanya.

Menerusi catatan Hadi semalam, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa PKR sebagai parti minoriti kini memimpin “kerajaan boneka pragmatik liberal”, iaitu sama seperti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Hadi berkata sedemikian dalam artikel bertajuk ‘Cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan'

Artikel itu turut disiarkan dalam ruangan Minda Presiden, Berita Pas dan akaun Facebook beliau.

GRACE AISYAH KEDAYAN