fb fb fb fb fb

Pelepasan cukai TASKA, Tadika ringan beban rakyat

Foto hiasan

KUANTAN, 11 Oktober - Cadangan kerajaan untuk memperluas pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan di taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) disambut baik rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Langkah itu disifatkan dapat membantu meringankan beban kos sara hidup khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menanggung kos penjagaan anak-anak kecil.

Pengarah Perubatan Hospital Aurelis Pahang, Datuk Dr. Abdul Razak Abdullah, berkata pelepasan cukai itu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai dan perlu dihantar ke pusat asuhan.

"Saya setuju dengan langkah kerajaan bagi membantu mereka yang berpendapatan sederhana. Ia banyak membantu meringankan kos bagi ibu bapa yang menghantar anak ke Tadika atau TASKA," katanya ketika ditemui RTM.

Sementara itu, pengusaha pusat jagaan, Rozana Abdul Rahim, turut menyambut baik cadangan tersebut kerana ia bukan sahaja membantu ibu bapa bekerja, malah menggalakkan mereka memilih TASKA berdaftar.

"Ada ibu bapa hantar dua hingga tiga anak ke pusat transit atau taska sekali gus. Jadi skim pelepasan cukai ini sangat membantu mereka. Pada masa sama, ia menggalakkan ibu bapa memilih TASKA berdaftar yang lebih selamat dan terjamin," ujarnya.

Bagi pemandu kenderaan pihak berkuasa tempatan (PBT), Mohamad Noor Hafiz Zakaria, pelepasan cukai itu memberi manfaat besar kepada golongan berkeluarga besar.

"Bagus untuk generasi sekarang, terutama yang ada anak ramai. Pelepasan cukai seperti ini memang beri kelegaan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Hospital Aurelis Pahang, Muhammad Norsyahmi Sulaiman, menyifatkan langkah kerajaan sebagai inisiatif terbaik bawah pentadbiran MADANI.

"Saya sendiri menghantar anak ke TASKA. Jadi pelepasan cukai ini amat membantu mengurangkan beban membayar cukai setiap tahun," jelasnya.

Cadangan perluasan pelepasan cukai itu diumumkan semasa pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat (10 Oktober) sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI