fb fb fb fb fb

Pelbagai acara sukan dihimpunkan pada TMM2024

Foto FB Ab Rauf Yusoh

MELAKA, 17 Disember- Pelbagai acara sukan akan dihimpunkan sepanjang bulan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan tema 'Lets Fit Together'.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata TMM2024 yang bakal membuka tirai beberapa hari sahaja lagi akan mempunyai tema khusus pada setiap bulan.

Jelasnya, antara tema yang akan diadakan adalah acara pelancongan sukan yang  dijadual akan berlangsung sepanjang bulan Mei tahun depan.

"Dia dalam siri tahun melawat Melaka setiap bulan diberi tema tersendiri jadi apabila tiba bulan sukan kita letakkan semua acara sukan sebagai salah satu daripada acara menarik untuk menarik pelancong datang, bukan sahaja sukan yang telah sedia ada tapi sukan-sukan tradisional juga akan dimuatkan kerana memupuk seni dan budaya dalam membina Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan kita akan dapat membawa nilai-nilai sukan tradisional ini sebagai nilai seni yang akan kita kembangkan dalam bulan tersebut," kata Ab Rauf pada sidang media selepas menghadiri Kongres Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Ke-67 di Bandaraya Melaka di sini.

Tambahnya, antara acara sukan yang akan diadakan pada bulan tersebut adalah bola sepak, bola jaring serta sukan tradisional.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata MAFA akan membuat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan pasukan dari Melaka untuk kembali ke saingan Liga Super.

Ab Rauf berkata ia adalah langkah yang diambil untuk memulihkan semula sukan bola sepak negeri Melaka.

Jelasnya, menerusi kepimpinan baru MAFA, beliau yakin perkara itu dapat direalisasikan menjelang ulang tahun ke 100 MAFA pada tahun hadapan.

Pada Kongres itu, MAFA telah mengumumkan beberapa nama baharu yang mengisi barisan jawatankuasa eksekutif baharu bagi tahun 2023 hingga 2026.

Antaranya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang dilantik sebagai Timbalan Presiden MAFA bagi menggantikan Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi.

Mengulas lanjut, MAFA akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dalam memastikan sukan nombor satu rakyat itu berjaya dimartabatkan ke peringkat tertinggi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM