fb fb fb fb fb

Pelarasan tarik elektrik: 85 peratus pengguna domestik tidak terjejas

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan melebihi 600 kWj hingga 1,500 kWj tidak akan dikenakan surcaj, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST menerusi kenyataan hari ini berkata kerajaan mengekalkan rebat 2 sen/kilowatt-jam (kWj) bagi golongan pengguna dengan penggunaan elektrik sebanyak 600 kWj dan ke bawah sebulan.

Manakala, kadar surcaj dikekalkan pada kadar 10 sen/kWj bagi pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan melebih 1,500 kWj.

"Berdasarkan keputusan ini, sebanyak 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2024, yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

"Sehubungan itu, sejumlah 99.0 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan," katanya.

Tambah ST, surcaj adalah kekal sama pada kadar 17 sen/kWj bagi semua pengguna bukan domestik.

Menurut ST, pengguna bukan domestik kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Menurut Suruhanjaya itu lagi, bagi meminimumkan impak surcaj ICPT ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terlibat.

"Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan," katanya.

Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT itu terpakai bagi semua pengguna di Semenanjung Malaysia kecuali pengguna di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

GRACE AISYAH KEDAYAN